TIPS MENUNAIKAN HAJI LEBIH AWAL

Haji merupakan rukun Islam yang ke-5 dan ia wajib bagi yang berkemampuan(istito'ah) bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi dari sudut lain seperti kesihatan, mental dan pelbagai aspek lain yang perlu diambil kira.

Betul ke haji pada masa kini untuk yang kaya sahaja, sebab mereka mampu. 

Sebelum itu, berapa ramai diantara kita melihat pada hari ni mereka yang mempunyai simpanan ratusan ribu dan jutaan ringgit dalam akaun bank tetapi masih belum menunaikan haji? Apakah hukum jika tidak pergi menunaikan haji jika sudah berkemampuan? Yang itu anda perlu tanya kepada yang pakar, saya hanya mengutarakan soalan sahaja. MAAF! 

Saya suka untuk mengingatkan rakan-rakan akan ayat dibawah yang memberi gambaran bahawa wang ringgit bukanlah segalanya untuk pergi haji.

Allah tidak memanggil hambaNya yang mampu, tetapi Allah memampukan hambaNya yang dipanggil.






Disclaimer : Perkongsian ini adalah berdasarkan bacaan saya dan tidak dijamin keberkesanannya. Tetapi amat digalakkan untuk mencuba semua langkah yang dicadangkan ini. Tips ini berguna untuk orang awam sahaja ! 

Di Malaysia, kita beruntung kerana mempunyai organisasi khas yang menguruskan urusan haji ini iaitu Lembaga Tabung Haji (TH) dan juga syarikat swasta yang diberikan keizinan dan lesen untuk menguruskan jemaah haji. Syarikat swasta ini dikenali dengan panggilan pengelola jemaah haji atau PJH.


Lembaga TH ini adalah sebuah badan berkanun yang tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). 

Aktiviti utama TH ialah pengurusan haji, tabungan dan pelaburan. TH bertekad untuk menyediakan perkhidmatan haji yang cemerlang kepada Jemaah Haji Malaysia dan rekodnya yang konsisten telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai model pengurusan haji yang inovatif.

Baru- baru ini Lembaga Tabung Haji Malaysia menerima anugerah Labbaitom dalam kategori kepuasan tertinggi oleh kerajaan Arab Saudi untuk tiga tahun berturut- turut. Ini sebuah pencapaian yang amat membanggakan. Laporan akhbar Sinar Harian >> Baca disini


Untuk pergi menunaikan haji tidak sama prosedurnya untuk menunaikan umrah.

Untuk Umrah, anda hanya perlu daftar dengan syarikat travel yang menguruskan Umrah, pilih tarikh dan pakej yang anda berminat dan membuat bayaran. Untuk umrah tiada kuota tahunan dan boleh dijalankan sepanjang tahun.

Untuk Haji pula, ianya setahun hanya sekali dan sudah tentu berbeza dengan umrah.

Penetapan 0.1% kuota haji daripada jumlah penduduk Islam sesebuah negara berdasarkan keputusan persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) atau OIC pada tahun 1988 di Amman, Jordan.

 Kerajaan Arab Saudi telah meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi 1445H/2024M.


 Sejak dari tahun 1995, TH telah memperkenalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep 

“Mendaftar Dahulu, Didahulukan” 

Oleh itu, pendeposit TH yang mendaftar haji akan diperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat. 

Ini bermakna, semua Pendeposit TH yang telah membuat pendaftaran haji layak dipilih untuk menunaikan haji apabila tiba giliran tahun peruntukan bagi menunaikan haji.

Pendedahan mengenai pendaftaran haji ini agak kurang pada 15-20 tahun lepas. Hal ini kerana, membuka akaun tabung haji dan mendaftar haji adalah dua perkara yang berbeza. Amat beruntung kepada mereka yang mendaftar sebelum tahun 2011 kerana giliran haji mereka tidaklah terlalu lama, sekitar 15-20 tahun sahaja. 

Jika anda daftar haji sekarang, mungkin giliran anda lagi 150 tahun. Alamak! 

Kebanyakan kita sudah membuka akaun tabung haji tetapi tidak mendaftar haji kerana syarat untuk mendaftar haji ialah perlu mempunyai baki minimum RM1,300 didalam akaun.

Pendaftaran haji pada masa kini lebih mudah berbanding waktu dahulu kerana terdapat pelbagai saluran untuk mendaftar haji seperti Kaunter TH, rakan strategik TH, Thijari applikasi dan Tabung Haji Contact Centre. 

Disebabkan konsep TH, first come first serve. Jadi, adakah yang giliran hajinya lagi seratus tahun ini tidak berpeluang untuk menunaikan haji semasa hidup?

Adalah amat mustahil untuk hidup sehingga seratus tahun pada masa kini. Jika hidup pun, masih laratkah pada masa itu untuk menunaikan haji? Soalan yang tidak diperlu difikirkan jawapan kerana ianya jelas nyata dan terang jawapannya. 

Baiklah, kini kita sudah masuk kepada topik utama iaitu TIPS MENUNAIKAN HAJI LEBIH AWAL DARIPADA GILIRAN HAJI!

Adakah ini mustahil atau tidak mustahil? 


Saya ingin kongsikan tips untuk menunaikan haji lebih awal daripada giliran haji.

1. PERGI SEBAGAI MAHRAM - dengan Muassasah atau PJH
Untuk anda yang mempunyai ibu, kakak, atau keluarga terdekat yang giliran hajinya sudah dekat, ini peluang anda untuk 'menyelit' sebagai mahram! Jadinya, penting untuk anda tahu giliran haji ahli keluarga anda jika daftar haji berasingan.

Cara untuk pergi sebagai mahram ialah anda perlu membuat rayuan haji dengan segera apabila pendaftaran rayuan haji dibuka.

Perlu dimaklumkan disini yang peluang untuk rayuan anda diterima AGAK TINGGI apabila ahli keluarga anda sudah menerima panggilan haji atau dipanggil panggilan awal.

Untuk mereka yang terpilih menunaikan haji melalui rayuan, anda tidak layak untuk mendapat Bantuan Kewangan Haji (subsidi) dan mereka perlu membayar penuh kos haji iaitu RM33,300.

BERITA BAIK UNTUK RAYUAN MAHRAM!

Anda akan mendapat bantuan Kewangan Haji ini sama seperti mereka yang mendapat panggilan awal. Dua kategori lain yang mendapat bantuan kewangan ini ialah pengiring jemaah lanjut usia dan jemaah orang kurang upaya(OKU).


2. PERGI DENGAN SYARIKAT SWASTA - PJH

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa kalau pergi dengan PJH ni auto dapat skip giliran haji. Betul ke? Sebenarnya ia salah dan betul.

Salah, kerana :
Mereka yang ingin pergi dengan PJH masih perlu melalui tabung haji dan membuat rayuan untuk melayakkan mereka mendapat tawaran haji. Hal ini untuk mereka yang mengambil pakej termurah dan menggunakan visa Tabung Haji. 

Akan tetapi, daftar jer dulu jika dah cukup duit. Jika ada kuota tambahan, adakalanya TH akan berikan kepada PJH, masa inilah anda yang turn lambat lagi akan berpeluang untuk menerima tawaran. Jika ada rezeki, InshaAllah. 

Betul, kerana:
Mereka yang ingin pergi dengan PJH akan automatik dapat skip giliran haji jika mengambil pakej VIP yang berharga 100 ribu keatas kerana pakej ini menggunakan visa Furada dan tidak menggunakan kuota tabung haji untuk kategori muassasah.

Penting untuk anda tahu PJH menawarkan pelbagai pakej serendah RM50,000 bagi tahun 2024. Untuk pakej yang termurah ini, anda masih perlu mendapat tawaran haji dari Tabung Haji sama seperti anda pergi dengan Muassasah. Cuma bezanya, setelah anda dapat tawaran Haji, anda boleh memilih untuk pergi dengan muassasah atau PJH.

Baca >> Kelebihan pergi Haji dengan PJH berbanding Muassasah (coming soon).

3. PERGI SEBAGAI PENGIRING JEMAAH LANJUT USIA

Untuk menggunakan kaedah ketiga ini agak sukar jika anda tiada ahli keluarga yang lanjut usia dan giliran hajinya sudah dekat. Umur yang dikategorikan sebagai lanjut usia ialah 75 tahun dan ke atas tidak kira sama ada jemaah tersebut masih sihat atau tidak.

Jadi, jika nenek anda sudah menghampiri 75 tahun, baik tanya bila giliran haji. Jika sudah dekat,anda boleh 'chop' untuk jadi pengiring nenek anda. 

Dalam ketiga-tiga cara yang saya cadangkan ini, cara 1 & 3. Anda perlu ada seseorang yang membantu anda mengukuhkan alasan untuk anda berjaya rayuan. 

Manakala cara ke-2 pula, asal ada duit, boleh pergi! Tapi tengok juga lah banyak mana duit yang anda sanggup laburkan. Jika sekadar RM50,000 sahaja, anda kena tunggu queue juga lah! Tak semua yang kaya itu sanggup laburkan beratus ribu untuk haji tetapi sanggup pula laburkan beratus ribu untuk hal lain. Tepuk dada tanya iman.

Semoga perkongsian saya ini bermanfaat! 

 WARNING: You are prohibited from republishing this article on your website without author's consent(mira). Write with dignity. Thank you.

Post a Comment

0 Comments

Ad Code

Responsive Advertisement